Tuesday, April 8, 2008

Persengketaan Yang Merugikan

Keadaan politik Negara semakin bertambah gawat. Sikap kebudak-budakan telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang kita cukup segani selama ini. Tidak kelihatan satu usaha pun untuk memulihkan semula keadaan dan semangat.

Hasil daripada kekalahan teruk BN dalam PRU 12 yang lepas, semua orang main tunjuk-menunjuk antara satu sama lain. Sebahagian besar ahli-ahli UMNO di akar umbi seakan bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan meletakkan tanggungjawab ini di atas bahu Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Segelintir Pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan pula terus mempertahankan kredibiliti Presiden UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian pula lebih banyak mendiamkan diri dan akan meluahkan pendirian masing-masing apabila tiba masanya nanti.

Apa yang kita telah nampak dengan jelas hari ini, rakyat termasuk ahli-ahli UMNO telah menunjukkan terdapat kepincangan yang berlaku dalam parti dan kerajaan. Tetapi kepincangan ini tidak dilihat oleh pemimpin-pemimpin yang ada untuk diperbaiki agar keutuhan Negara dan UMNO dapat dipertahankan.

Kegagalan pemimpin-pemimpin yang cukup ketara pada hari ini adalah untuk menyelesaikan masalah. Tiada satu pendekatan yang efektif diambil bagi menangani masalah kerana pemimpin lebih berminat kepada menidakkan dan menentang segala kritikan yang dilemparkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri. Ini merupakan perbuatan yang cukup sumbang dimata rakyat dan ahli-ahli UMNO.

Tetapi yang cukup menyedihkan persengketaan ini tidak sedikitpun membantu untuk memulihkan semula parti. Segala kritikan yang dilemparkan dibalas dengan kritikan sehingga membongkar sejarah yang telah lama dilupakan.

Pemimpin-pemimpin UMNO masih belum sedar pemberontakan rakyat dan ahli-ahli UMNO menolak mereka. Malah kepimpinan tertinggi UMNO sendiri telah menjadikan ahli-ahli UMNO sendiri sebagai punca tsunami PRU 12.

Kepimpinan UMNO perlu mengkaji dan menghalusi kenapa ahli-ahli UMNO sendiri mengkhianati parti dalam PRU 12. Ahli-ahli UMNO hanya memberi gambaran dimana kepimpinan UMNO perlu sedar kerana terdapat banyak kelemahan dalam kepimpinan.

Hentikanlah segala persengketaan, ahli-ahli UMNO dan seluruh rakyat telah memberi gambaran bahawa persengketaan ini hanya boleh dihentikan dengan perubahan.

2 comments:

Black-40 said...

hakikatnya, bukan mudah untuk memimpin dan dipimpin. Yang paling penting, pemimpin perlu bersabar dengan karenah ahli-ahli dan penyokongnya.

Ahli-ahli dan penyokong, juga perlu sabar menantikan perubahan dalam pucuk pimpinan.

Kita semua perlu bersatu kembali, menilai semula kekalahan dalam PRU yang lalu dengan profesional, matang dan bukan untuk kepentingan mana-mana individu.

Kita perlu terima hakikat bahawa yang kalah bukan UMNO orang-orangnya.

Bersamalah kita perbaiki demi masa depan yang lebih baik.

MELAYU DI PERSIMPANGAN said...

Persoalannya sekarang, adakah dengan meletakkan kesalahan pada PAK LAH dan mempertahankan kewibawaan PAK LAH juga akan memberikan jaminan bahawa orang Melayu hari ini akan kembali kuat. Adakah kedua-dua tindakan tersebut juga boleh menjamin UMNO AKAN KEMBALI BERTAUT DI HATI ORANG MELAYU?

Persoalan ini harus dipandang serius, perlu di cari jalan penyelesaian yang konkrit. Perlu diingatkan bahawa Melayu juga ada dalam PAS dan juga PKR.

Orang MELAYU dalam PAS dan PKR juga mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan orang MELAYU dalam UMNO. Hakikatnya dalam UMNO itu sendiri MELAYU berpecah kepada beberapa puak.....

Oleh itu fikirkanlah. UMNO hari ini perlu melihat pandangan akar umbi juga. Apa sebenarnya yang ahli-ahli UMNO mahukan daripada kepimpinan UMNO hari ini.

Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Jangan sampai kerana politik, orang Melayu akan hilang kuasa di negaranya sendiri. Jangan sampai bila Anwar Ibrahim dah jadi PM, kuasa Melayu dan Islam akan berkubur kerana perjuangan Anwar terlalu kabur untuk mempertahankan KETUANAN MELAYU dan ISLAM sebagai agama rasmi negara, kerana beliau hanya inginkan kuasa.... dengan sokongan DAP dan orang bukan Islam sahajalah dan kuasa barat khususnya dari Israel dan Amerika, Anwar akan jadi PERDANA MENTERI MALAYSIA......